Saturday, April 25, 2009

Kuasa blog automotif


Pasti ramai yang angkat topi dengan pendedahan eksklusif beberapa gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Proton Holdings Berhad berharga sekitar RM80,000 sebuah yang bakal dilancarkan pada bulan April ini, jika tiada aral yang melintang.


Masakan tidak angkat topi kerana semua terutama peminat kenderaan bersaiz besar seperti MPV, kenderaan utility sports (SUV) dan pacuan empat roda (4WD) tempatan yang sedang ternanti-nanti rupa bentuk MPV keluaran Proton menyangka hanya dapat melihatnya semasa majlis pelancaran dalam masa kira-kira tiga bulan lagi.


Hakikatnya, ramai juga yang sedang mengumpul dana mencukupi untuk memiliki MPV keluaran Proton ini yang dijangka menawarkan harga pasaran yang cukup kompetitif berbanding kenderaan dalam segmen yang sama, justeru teruja untuk melayari blog-blog untuk melihat rupa paras MPV berkenaan.


Sebenarnya, pendedahan seperti ini bukanlah pertama kali dilakukan oleh pengendali blog sama ada di peringkat tempatan dan luar negara yang sentiasa memberi maklumat terkini mengenai apa yang berlaku dalam dunia automotif.


Blog lebih mudah menjengah peminat automotif bersandarkan penggunaan internet yang mampu memuat turun apa jua bahan sama ada teks atau gambar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja serta boleh dilayari setiap masa berbanding majalah atau surat khabar yang terikat dengan tempoh penerbitan sama ada setiap hari, seminggu dan sebulan sekali.


Justeru, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan trend semasa menunjukkan blog-blog automotif semakin mendapat perhatian oleh banyak pihak terutama peminat permotoran yang sentiasa dahagakan maklumat serta gambar terkini mengenai dunia permotoran.


Mereka tercari-cari model terbaru di pasaran, rekaan terbaru aksesori, penilaian sesi uji pandu model terkini, trend semasa jualan kereta terpakai dan pelbagai petua penjagaan kereta mahu pun cara menjimatkan penggunaan petrol.


Petikan artikel dari sumber utusan melayu

No comments:

Post a Comment